MABBIM ialah sebuah badan kebahasaan serantau yang dianggotai oleh tiga negara, iaitu Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia. Pada asalnya, badan ini dinamai sebagai Majlis Bahasa Indonesia - Malaysia (MBIM) yang ditubuhkan pada 29 Disember 1972. Setelah satu Pernyataan Bersama ditandatangani oleh Allahyarham Tun Hussein Onn, Menteri Pendidikan Malaysia, dan Bapak Mashuri Saleh S.H., Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia pada 23 Mei 1972 di Jakarta, MBIM menjadi MABBIM apabila negara Brunei Darussalam menganggotai Majlis ini pada 4 November 1985. Manakala, Singapura masih menjadi negara pemerhati sehingga kini.
Wadah kerjasama kebahasaan MABBIM ini pada hakikatnya mempunyai misi untuk membina dan mengembangkan bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu/Indonesia di ketiga-tiga buah ngara anggota MABBIM menjadi bahasa peradaban tinggi, bahasa ilmu, bahasa sains, bahasa teknologi moden, bahasa perusahaan, dan bahasa ekonomi.
SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN MABBIM
Bahasa Melayu/Indonesia merupakan bahasa serumpun yang berasal daripada rumpun Austronesia. Dilihat dari segi warna kulit, rupa, dan budaya bangsa masyarakat penuturnya dan struktur serta kosa kata bahasanya memang tidak syak lagi bahawa bahasa Melayu/Indonesia mempunyai banyak persamaan. Namun, kedatangan Inggeris dan Belanda pada 1824 (Perjanjian Inggeris-Belanda 1824) telah membahagikan bahasa dan bangsa serumpun ini kepada tiga sempadan geografi dan politik yang ketara.
Menyedari peri pentingnya bahasa serumpun disatukan semula bagi memastikan kelancaran komunikasi budaya, ilmu, dagang, ekonomi, teknologi, dan lain-lain antara negara yang menuturkan bahasa Melayu/Indonesia, serta melihat peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di Asia Tenggara dan di seluruh dunia, maka gagasan penubuhan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) diutarakan. Gagasan yang muncul seawal 1950-an ini mempunyai wawasan untuk menyatukan bahasa serumpun ini. Titik permulaan bagi merealisasikan hasrat ini ialah pertemuan antara Jawatankuasa Kerjasama Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia pada 04–07 Disember 1959. Malaysia diwakili Tun Syed Nasir, manakala Indonesia pula diwakili oleh Dr. Slamet Mulyana. Hasil pertemuan tersebut telah mencetuskan idea terhadap Sistem Ejaan Malindo yang pelaksanaannya dirancang diadakan pada Januari 1962. Namun, konfrontasi Indonesia-Malaysia menyebabkan pelaksanaannya tertunda sehingga pada tarikh 07 September 1966. Seterusnya, pada 27 Jun 1967 Jawatankuasa Ejaan Malaysia dan Tim Ahli Bahasa KOTI dari pihak Indonesia mencapai keputusan untuk mewujudkan Sistem Ejaan Baru yang praktis, ekonomis, dan ilmiah.
Berikutnya pada tahun 1960-an, beberapa buah jawatankuasa istilah telah ditubuhkan untuk memenuhi kehendak satu daripada lima tujuan dasar penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu menyatupadukan ejaan dan sebutan dan mengadakan perkataan-perkataan teknikal dalam bahasa Melayu. Keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa istilah berkenaan juga bertujuan untuk memudahkan sistem penterjemahan bagi perkataan-perkataan teknikal ke dalam bahasa Melayu yang pada masa itu menghadapi masalah disebabkan terdapatnya banyak perkataan asing yang digunakan, seperti dalam borang rasmi kerajaan dan persuratan. Kemudian pada tahun 1965 hingga 1982, 19 buah jawatankuasa istilah untuk membincangkan istilah-istilah umum telah ditubuhkan. Penubuhannya bersandarkan kepada keperluan jabatan-jabatan kerajaan dan swasta pada waktu tersebut.
Untuk memperkembangkan bahasa Melayu bagi kepentingan sosial dan politik, Negara Brunei Darussalarn melalui Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengambil langkah-langkah yang positif dengan menghantar rombongan pemerhati ke Negara Malaysia dan Indonesia menerusi Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) yang ditubuhkan pada 29 Disember 1972. Badan ini merangka kerjasama antara kedua-dua buah negara dalam bidang kebahasaan yang meliputi ejaan, istilah, dan tatabahasa.
Seterusnya pada tahun 1981 hingga 1984, Negara Brunei Darussalam telah menghantar rombongan selaku pemerhati dalam sidang tersebut. Mereka ini dihasratkan untuk meninjau kerjasama kedua-dua buah negara dalam bidang kebahasaan. Pemerhati yang pernah mengikuti sidang majlis tersebut adalah seperti yang berikut:
Bil. | Bilangan Sidang | Tarikh | Pemerhati |
1.
| Sidang Ke-16 MBIM, di Yogyakarta | 16 – 21 Mei 1981
| Pengiran Badaruddin bin Pengiran Ghani
|
2.
| Sidang Ke-18 MBIM, di Palembang
| 29 Mac – 03 April 1982 | - Awang Haji Yahya bin Haji Ibrahim (Sekarang dikenali sebagai Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim)
- Awang Haji Mohd Suni bin Idris (Sekarang dikenali sebagai Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Suni bin Haji Idris)
|
3.
| Sidang Ke-19 MBIM, di Kuala Lumpur | 08 – 13 November 1982 | - Pengiran Badaruddin bin Pengiran Ghani (Ketua)
- Awang Rosli bin Umar (Pengurusan Ladang)
- Awang Ibrahim bin Haji C.A Muhammad (Kejuruteraan Elektrik)
- Awang Jaya bin Haji Sahat (Zoologi)
- Awang Ali bin Haji Kayum (Ilmu Perpustakaan dan Dokumentasi)
- Awang Hanafiah bin Awang Haji Zaini (Urus setia)
|
| Sidang Ke-20 MBIM, di Indonesia | 25 – 30 Julai 1983 | - Awang Haji Abd Saman bin Kahar (Sekarang dikenali sebagai Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abd Saman bin Kahar) Ketua
- Awang Hanafiah bin Awang Haji Zaini (Urus setia)
|
| Sidang Ke-21 MBIM, di Kuala Lumpur | 16 - 20 April 1984 | - Dayang Hajah Fatimah binti Haji Mohd Husain (Ketua)
- Awang Mohd Amin bin Begawan Pehin Khatib Haji Sirat
- Awang Abas bin Haji Serudin (sekarang dikenali sebagai Yang Mulia Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abas bin Haji Serudin)
- Awang Haji Abdullah bin Haji Bungsu (Urus setia)
|
| Sidang Ke-22 MBIM, di Indonesia | 28 Oktober – 03 November 1984 | - Awang Haji Alidin bin Haji Othman (Ketua)
- Awang Mohd Amin bin Begawan Pehin Khatib Haji Sirat (Setiausaha)
- Awang Haji Md. Jail bin Latif
- Pengiran Mariam binti Pengiran Haji Metarsat
|
| Sidang Ke-23 MBIM, di Kuala Lumpur | 25 – 29 Mac 1985 | - Awang Haji Ahmad bin Kadi (Ketua)
- Awang Mohd Amin bin Begawan Pehin Khatib Haji Sirat (Setiausaha)
- Dayang Hajah Halimah binti Yaakub (Matematik)
- Dayang Norsiah binti Abd Gapar (Kimia)
- Awang Md. Ali bin Haji Abd Razak (Percetakan)
- Awang Hanafiah bin Awang Haji Zaini (Urus setia)
|
Mulai pada 4 November 1985, Negara Brunei Darussalam telah menjadi anggota penuh badan tersebut. Perasmiannya telah diadakan di Jakarta, Indonesia dan dari saat itu Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) bertukar nama menjadi Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).